top of page
  • betterfuturemalays

Syed Saddiq: Malaysia memerlukan sebuah "wake-up call"

Negara hanya boleh berdiri jika rakyat bersatu padu dan sebulat suara.

Saya mengangkat cadangan untuk menubuhkan Better Malaysia Assembly yang dipersembahkan oleh Datuk Seri Nazir Razak bersama 54 individu kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah dan Majlis Raja-Raja. Malaysia memerlukan “a wake up call” dengan rombakan progesif kepada sistem negara terutamanya pada pembentukan dasar, reformasi institusi dan kenegaraan. Malangnya, hal ini dianaktirikan sehingga ia sedikit sebanyak melengahkan pembangunan negara yang sekaligus menyebabkan ketidakstabilan kepada politik, ekonomi dan sosial terutamanya untuk beberapa tahun ini.

Kita juga sepatutnya sudah mengorak langkah daripada dasar lapuk yang telah membelenggu negara kita. 50 tahun kita dihantui dengan kemerosatan NEP yang sepatutnya diteliti semula selepas 20 tahun.

Kerajaan hari ini telah gagal untuk mendengar keluhan rakyat demi pembangunan negara. Saya akur bahawa rombakan yang telah dicaturkan tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh 22 bulan. Saya juga kecewa apabila Dewan Rakyat gagal untuk membahaskan isu yang penting dan progresif dan hanya mengutamakan isu yang materialistik yang tak membawa sebarang faedah kepada negara.

Sepanjang saya menjawat jawatan Menteri, saya berusaha untuk memberikan hak kepada orang muda seawal usia 18 tahun mengundi, menaikkan gaji minimum dan taraf kualiti hidup rakyat, menyediakan lebih 350,000 peluang kerja baharu dan paling penting, membawa kembali integriti negara yang sekian lama diabaikan.

Saya percaya kumpulan yang menyokong Better Malaysia Assembly ini terdiri daripada ahli-ahli yang berpengalaman dan bukan partisan dapat memperkenalkan polisi yang menyeluruh dan adil untuk semua masyarakat Malaysia. Bukan calang-calang.

Ada Professor Dato’ Dr. Adeeba Kamarulzaman, Tan Sri Azman Mokhtar, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, Nur Qyira Yusri, Dr Khor Swee Kheng, Vinesh Sinha, Dato’ Sri Nazir Razak, Nadhir Ashafiq dan ramai lagi golongan bijak pandai yang mahu menyumbang untuk negara.

Sekurang-kurangnya, ia adalah pendekatan yang boleh diambil kira dalam merangka jalan Malaysia ke hadapan.

Saya percaya dengan semangat, idea dan pengalaman ahli-ahli perhimpunan tersebut, kita dapat menyelesaikan punca akar (root cause) yang lama membelenggu negara ini.

Negara hanya boleh berdiri jika rakyat bersatu padu dan sebulat suara. Saya akan sentiasa berusaha membawa Malaysia supaya lebih maju dengan politik yang lebih demokratik, ekonomi yang lebih dinamik dan sosial yang lebih harmoni.


Ihsan YB Syed Saddiq

9 views0 comments
bottom of page