• betterfuturemalays

Persoalan Bangsa Malaysia


Artikel asal di Sinar Harian


KITA baru saja selesai menyambut Hari Malaysia yang ke-59 dan Hari Kemerdekaan negara yang ke-65. Setelah hampir 60 tahun Malaysia ditubuhkan, kita masih lagi berbicara tentang perpaduan antara kaum, integrasi antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung dan persoalan identiti bangsa.




Ramai sarjana yang bersetuju bahawa kita masih belum mencapai perpaduan yang kita dambakan sebagai sebuah negara tetapi rakyat Malaysia rata-rata tidak kira kaum dapat hidup bersama dalam satu kesepaduan sosial yang stabil tetapi kadang-kadang ditegangkan oleh sesetengah pihak yang memainkan sentimen perkauman untuk kepentingan masing-masing.


Selagi puak ini masih wujud, sejauh mana pun usaha yang kita ambil untuk menyatupadukan masyarakat Malaysia akan menjadi sia-sia sahaja.

Sebab itu juga ramai dalam kalangan pemikir berpendapat bahawa usaha untuk membincangkan persoalan negara bangsa ini harus diteruskan sehingga kita bertemu dengan satu formula yang dapat mengatasi apa juga kemelut yang boleh memecahbelahkan rakyat dalam negara ini.


Walaupun ramai cerdik pandai yang telah menulis mengenai perkara ini secara mendalam, sayangnya tulisan-tulisan ini tidak dibaca oleh kalangan kelompok masyarakat yang dipertanggungjawabkan untuk menggerakkan rakyat. Lebih malang lagi, tulisan-tulisan ini dianggap terlalu berat untuk dirujuk.


Sebab itu saya berpendapat, selain daripada perlu ada perantara dalam masyarakat kita, iaitu orang yang mampu menghadamkan tulisan-tulisan ilmiah ini dan diterjemahkan menjadi bacaan popular, mungkin ahli akademik sendiri boleh juga mula menulis hasil kajian mereka dalam bentuk yang lebih mudah difahami oleh orang awam dan diterbitkan dalam makalah-makalah popular untuk bacaan umum. Ini bertujuan agar konsep-konsep dan teori-teori yang kompleks ini dapat difahami oleh orang terbanyak.


Baru-baru ini saya hadir dalam satu majlis syarahan umum Pusat Sejarah Rakyat dengan kerjasama Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya dan Naratif Malaysia. Syarahan tersebut disampaikan oleh Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Rahman Embong dengan tajuk ‘Persoalan Negara-Bangsa dan Bangsa Malaysia: Mengimbau Sejarah, melihat Masa Depan’.


Syarahan umum yang sangat baik itu pada pandangan saya harus juga dihadiri dan didengari oleh ahli-ahli politik dan pimpinan dalam sektor awam negara ini. Mereka ini adalah antara kelompok yang perlu untuk menjadi sasaran utama syarahan seperti ini.


Kefahaman mereka mengenai konsep Bangsa Malaysia sebagai contoh atau keperluan untuk kita memahami persoalan dan cabaran membina negara bangsa menjadi sangat penting kerana akhirnya nanti, mereka ini yang akan menterjemahkan menjadi dasar negara yang akan dibincangkan di parlimen.

Persoalan penting pada saya yang dikemukakan oleh Rahman Embong dalam syarahan ini adalah bahawa selepas 65 tahun merdeka kita masih belum ada satu identiti yang dikongsi bersama oleh semua rakyat Malaysia.


Apa yang kita ada hanyalah sebuah masyarakat majmuk, iaitu masyarakat berbilang kaum, budaya, bahasa dan agama. Namun semua ini jauh sekali daripada membentuk satu identiti nasional yang dikongsi bersama.


Perkara inilah menurut Rahman Embong yang menjadikan persoalan nasional dalam erti kata pembinaan suatu bangsa yang bersatu padu dengan identiti nasional yang sepunya sebagai isu utama.


Sekiranya tidak, negara ini seperti yang saya sebut di awal tadi akan selamanya berpecah belah apabila ada orang-orang yang tidak bertanggungjawab memainkan sentimen perkauman, agama atau bahasa untuk kepentingan peribadi mereka.


Sebab itu gagasan besar seperti yang pernah diungkapkan oleh Almarhum Tun Abdul Razak mengenai konsep Bangsa Malaysia yang beliau sebut di Dewan Rakyat pada Julai 1971 ketika membentangkan usul Dasar Ekonomi Baru, dan kemudian oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan beliau yang menggariskan Wawasan 2020 meletakkan pembinaan Bangsa Malaysia sebagai cabaran pertama dan paling penting daripada sembilan cabaran untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.


Syarahan oleh Rahman Embong ini perlu disebarluaskan dan mungkin perlu diadakan di beberapa buah negeri lain.


Konsep Bangsa Malaysia ini bukan sahaja sesuatu dari atas tetapi juga harus datang dari bawah terutama dalam kalangan intelektual dan rakyat berbilang kaum yang melihatnya berdasarkan perspektif masing-masing.


Ini penting untuk kita menilai bersama apakah prospek perkembangannya bagi masa hadapan negara dan bangsa pada abad ke-21 ini.


* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff ialah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM


1 view0 comments